saman RCI Tommy
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO berharap laporan Pasukan Petugas Khas terhadap buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas boleh didedahkan kepada umum.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh Tommy.

Asyraf Wajdi berkata, arahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu membuktikan tindakan yang dibuat pihKNY terhadap Tommy sebelum ini adalah tepat.

“Ternyata benar apa yang Pemuda UMNO bangkitkan setahun setengah yang lalu termasuk laporan-laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO seluruh Malaysia mengenai pelbagai salah-laku bekas Peguam Negara Tommy Thomas yang secara bongkak mendedahkan sendiri salah laku beliau,” katanya.

Ismail Sabri mengeluarkan arahan siasatan lanjut oleh agensi penguatkuasa berkaitan terhadap Tommy selepas Pasukan Petugas Khas membentangkan laporan siasatan kepada Kabinet terhadap pendedahan dalam buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Menurut Asyraf Wajdi, Tommy dengan bongkak telah mendedahkan pelantikan hakim-hakim forum shopping termasuk Ketua Hakim Negara.

“Ini bercanggah dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“Menggugurkan sejumlah besar kes berkaitan dengan Pakatan Harapan. Ini termasuk menarik balik kes rasuah banglo terhadap Lim Guan Eng yang sudah pun dibuktikan ada prima facie dengan 25 saksi dan menghentikan prosiding terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri DAP didakwa menyokong LTTE.

“Penyalahgunaan kuasa dan kecuaian professional seperti melantik sebanyak 23 peguam luar sepanjang memegang jawatan Peguam Negara,” katanya.

Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, Pasukan Petugas Khas mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam tulisan Tommy kepada empat isu utama.

Iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.

“Pasukan Petugas Khas seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

Siasatan lanjut terhadap Tommy mengikut Seksyen 124I Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette