zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Penyelesaian kepada kemelut pentadbiran kerajaan dan politik sekarang ialah melalui pilihan raya, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Menurut beliau, melalui Pilihan Raya Umum (PRU), mana-mana parti yang menang majoriti dapat mengurus pentadbiran kerajaan dengan baik tanpa gangguan daripada rakan campuran sebagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Apapun pandangan kita mengenai pentadbiran kerajaan dan parti politik ini, akhirnya kita (rakyat) yang tentukan.

“Sebab itu saya merasakan dari dulu lagi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, Perdana Menteri adakan pilihan raya awal supaya supaya momentum untuk menang itu ada supaya kemenangan itu memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Tetapi pihak yang berkuasa, orang di atas merasakan tidak perlu. Itu saya hormatlah keputusan mereka,” katanya dalam wawancara khas dengan Malaysia Gazette di sini, semalam.

Bagaimanapun, Zaid yang baru menyertai UMNO semula berkata, beliau tidak puas hati dengan sikap berdolak-dalik mengenai tarikh PRU, seolah-olah perkara itu dipermain-ainkan, seperti tidak serius.

Negara lain, katanya, memaklumkan lebih awal kepada rakyat mereka iaitu setahun atau satu setengah tahun akan diadakan pilihan raya, bukan secara mengejut seperti di Malaysia.

Ujar beliau, bagi negara luar memaklumkan awal pilihan raya adalah perkara biasa kerana parti mereka dapat membuat persediaan sama ada menjawab isu dari pihak lawan.

“Tapi, di tempat kita macam main-main. Ada pihak UMNO mendesak PRU cepat, ada pula pihak sebelah sana kata terpulang kepada parti dan Kabinet, macam-macam.

“Dalam hal ini, saya rasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kena tegas. Kalau nak buat bulan Jun tahun depan, beritahu bulan Jun dan sebabnya apa. Tidak perlulah kata nak buat keputusan esok atau minggu depan, akhirnya senyap.

”Pembangkang pula hendak buat petisyen tidak perlu adakan pilihan raya awal kerana banjir. Saya rasa kerajaan ada kemampuan untuk meneliti semua faktor ini. Cuma, kita rakyat ini hendakkan kepastian bila pilihan raya hendak diadakan,” ujarnya.

Kata beliau, mengumumkan bila tarikh PRU adalah lebih baik supaya parti tidak menghabiskan banyak masa bercakap polemik dan bertengkar perkara yang tiada kesudahan.

“Baik kita bercakap mengenai manifesto kita, mengenai perjuangan parti kita dan tumpukan lebih janji kita kepada rakyat.

“Soal adakan PRU awal ini, saya yang mula-mula desak kerajaan kerana ekonomi kita meleset, pemimpin dan menteri yang ada sekarang kata orang tidak tahu buat kerja, dasar tidak menentu, ringgit kita jatuh, inflasi kita naik.

“Perkara macam ini yang menjejaskan rakyat. Sebab itu saya mendesak supaya adakan PRU ke-15 lebih awal. Tapi, dah nampak orang tidak mahu, saya kata okeylah. Kalau nak buat bulan Jun, buatlah. Janganlah main tarik tali menggunakan politik,” katanya.

Mengenai Ismail Sabri sebagai posterboy bagi BN, Zaid yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan menjelaskan, hasrat parti tidak seratus peratus menentukan siapa calon Menteri Besar atau Perdana Menteri.

Ini kerana, kata beliau, sistem di negara ini ada juga kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Sultan dalam pemilihan jawatan berkenaan, terutama jika parti itu tidak mempunyai kerusi cukup untuk menentukan siapa bakal menduduki kerusi nombor satu negeri dan negara.

“Soal poster boy ini penting. Dalam erti kata, dialah orang yang kita harap memberi rangsangan dan kekuatan kepada parti. Dialah yang menggambarkan pemimpin yang akan membawa kemajuan kepada parti dan negara.

“Ertinya pemimpin ini mestilah mempunyai ciri-ciri seperti kemampuan dan kebolehan yang tinggi. Itulah selalunya kita pilih sebagai posterboy. Tapi, kadang-kadang kita pilih kerana politik pun ada juga. Saya tak tahulah, terpulang kepada orang atas, mereka yang fikir.

“Pada saya asalkan kita bawa kepada rakyat soal pemikiran dan pandangan parti keseluruhannya, itu yang penting. Kita perlu kepada konsesus, muafakat. Kita tak boleh macam sekarang, macam-macam cerita kita dengar,” katanya. – MalaysiaGazette