chow kon yeow
Kon Yeow

KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja yang didapat terlibat menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa dan membuat tuntutan palsu di Pulau Pinang mesti disiasat dan didakwa di mahkamah secepat mungkin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap jenayah rasuah melibatkan penjawat awam di negeri itu.

Menurut beliau, perkara itu selari dengan prinsip kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (CAT) yang diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang sejak 2008.

“Tiada siapa pun yang terkecuali daripada tindakan undang-undang,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, situasi menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu di Pulau Pinang adalah pada tahap membimbangkan.

Beliau menyatakan, berdasarkan statistik SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan itu sejak 2019 hingga kini.

Untuk rekod, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sedang berdepan empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.

Pada masa yang sama, Kon Yeow meminta SPRM bersikap telus dalam mendedahkan jumlah kes yang dihadapkan ke mahkamah dan bilangan penjawat awam yang didapati bersalah.

“Kami menuntut ketelusan daripada SPRM kerana kami tidak mahu imej penjawat awam dan kerajaan negeri Pulau Pinang tercemar hanya kerana jumlah aduan yang diterima sejak 2019,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tuntutan palsu kerja banyak berlaku di Pulau Pinang