KUALA LUMPUR – Setakat ini terdapat 1.3 juta pekerja warga asing di sektor-sektor yang dibenarkan pengambilan dan penggajian pekerja warga asing termasuk sektor informal.
Pada masa yang sama, lebih 612,000 pekerja warga asing telah berdaftar dan lulus semakan Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan (PKK) di negara-negara sumber.
Manakala, terdapat seramai 228,321 pekerja warga asing bersamaan 37.3% telah diluluskan Visa Dengan Rujukan oleh pihak Jabatan Imigresen serta sedang menunggu masa untuk tiba di negara ini.
Kementerian Sumber Manusia berkata, keperluan guna tenaga pekerja warga asing di Malaysia adalah dalam lingkungan 1.8 juta dan ini merupakan jumlah maksimum yang pernah dicapai.
Sehingga 26 September 2022, Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan sejumlah 541,315 kuota pengambilan pekerja warga asing dan daripada jumlah tersebut 436,613 kuota telah membuat bayaran levi.
Mengambil kira 1.3 juta pekerja warga asing sedia ada serta bilangan kuota yang telah diluluskan sebanyak 531,315, jumlah ini telah hampir memenuhi permintaan industri untuk keperluan guna tenaga pekerja warga asing.
”Kementerian ini juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak industri mengenai isu kemasukan pekerja warga asing dan dimaklumkan industri seperti sektor perladangan yang telah diberikan kelulusan kuota tidak akan membawa masuk guna
tenaga pekerja warga asing secara sekaligus.
”Pengambilan ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan perancangan majikan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Oleh itu, para majikan boleh membuat perancangan sebegini kerana mereka mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk membawa masuk pekerja warga asing selepas bayaran levi diselesaikan. – MalaysiaGazette