BAYAN BARU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sim Tze Tzin menyifatkan tindakan UMNO sebagai politik desperado susulan memaksa dan mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengarah Strategi PKR Pusat, Sim Tze Tzin berkata, politik desperado tidak akan memberi kemenangan kepada mereka sebaliknya ia juga tidak boleh dijadikan sebagai budaya politik demi mendapat mandat mentadbirkan negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru mendakwa, seluruh rakyat Malaysia mengetahui PRU15 disegerakan untuk menyelamatkan diri pemimpin ‘kluster mahkamah’ parti itu.
“Semalam kita telah lihat bahawa UMNO kini berada dalam keadaan politk desperado apabila mereka memaksa dan mendesak perdana menteri untuk membubarkan parlimen dalam tahun ini juga.
“Saya rasa 32 juta rakyat negara ini tahu motif sebenar presiden UMNO serta konco-konconya mendesak Ismail Sabri untuk segerakan PRU15 demi menyelamatkan diri dari berdepan tindakan mahkamah sekali gus membuktikan mereka mengamalkan konsep self- fish (penting diri) politik.
“Umum mengetahui PRU15 harap dilaksanakan tahun depan demi kesejahteraan rakyat dan negara susulan negara dijangka menghadapi banjir besar akibat monsun Timur Laut,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.
Mengulas lanjut Ketua Cabang PKR Bayan Baru itu turut menyifatkan UMNO terdesak melaksanakan PRU15 bagi menutup kegagalan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara.
Kata beliau, UMNO takut rakyat sedar akan semua kegagalan dibawah pimpinan Ismail Sabri menyebabkan mereka mahu bubar parlimen untuk mendapatkan mandat baru.
“Contohnya, nilai mata wang ringgit telah jatuh 15 peratus dalam tempoh dua bulan, ekonomi merindukan hingga mengakibatkan peniaga terpaksa menutupkan perniagaan mereka selain anak muda gagal dapat kerja.
“Bukan saja itu, isu inflasi barang makanan melebihi tujuh peratus turut membelenggu rakyat.
“Bagi saya, pimpinan UMNO tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak fokus masalah rakyat sebaliknya lebih mementingkan agenda menyelamatkan diri sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tze Tzin menegaskan sekiranya banjir dalam tempoh PRU15 akan menyebabkan rakyat tidak akan ambil peduli mengenai pemilihan pimpinan politik.
“Rakyat akan bergelut untuk menyelamatkan diri serta rumah mereka ketika itu dan tak ada masa fikir nak undi siapa.
“Ini secara tidak langsung akan membuatkan rakyat muak dan hilang kepercayaan terhadap ahli politik,” katanya. – MalaysiaGazette