Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah manakala rakannya menunggu di atas sebuah motosikal dalam kejadian di Sitiawan, Perak.

LUMUT – Polis Perak sedang giat memburu dua lelaki yang terlibat dalam insiden melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Sitiawan di sini, semalam.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu namun kereta yang di parkir di halaman rumah teres itu mengalami kerosakan akibat terkena tembakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek datang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran sebelum salah seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah rumah tersebut.

Mohd Yusri.

Kata beliau, hanya satu das tembakan dilepaskan dan ia terkena pada cermin belakang kereta milik mangsa susulan pistol suspek dipercayai gagal berfungsi sebelum mereka melarikan diri.

“Pihak polis menerima panggilan telefon dari seorang lelaki pada jam 1.07 tengah hari memaklumkan berlaku insiden melepaskan tembakan di hadapan rumah rakannya.

“Hasil siasatan mendapati isteri pemilik rumah ada terdengar bunyi letupan di luar rumah mereka pada sebelah pagi namun tidak mengendahkannya.

“Pemilik rumah itu hanya menyedari kejadian pada jam 12.45 tengah hari selepas melihat cermin kereta rosak menemui kelongsong peluru,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Tambah beliau, kediaman itu milik seorang ahli perniagaan dan ia didiami mereka empat sekeluarga yang terdiri daripada pasangan suami isteri serta dua anak.

“Kita masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019 392 7837 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal berwarna biru hitam melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah teres dua tingkat.

Berdasarkan rakaman itu, kejadian dipercayai berlaku pada jam 8.03 pagi. – MalaysiaGazette