Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar kenangan dengan Sayap Muda GTA yang hadir pada Program Suara Tanah Air di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2022.

SEPANG – Gabungan Tanah Air (GTA) akan menentukan pendirian sama ada mahu menyokong atau tidak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Perdana Menteri menyembah permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya berpendapat PRU15 tidak wajar dilaksanakan ketika musim banjir.

“Kalau mereka buat permohonan kepada Agong pada masa itu kita akan buat keputusan sama ada hendak bantah atau nak sokong.

“Kita berpendapat bahawa sepatutnya kita adakan pilihan raya di masa tidak menghadapi banjir besar. Tidak menghadapi angin kencang. Supaya orang yang mengundi selamat dan boleh mengundi dengan baik,” katanya.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Program Suara Tanah Air di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2022.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta sama ada GTA akan menyembah surat bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya Perdana Menteri mahu membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Ia susulan keputusan Majlis Kerja Teringgi UMNO semalam yang mahu Parlimen dibubarkan tahun ini.

Pengerusi Pejuang itu berpandangan bahawa PRU lebih sesuai dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Saya fikir tahun depanlah bila sudah habis musim tengkujuh tidak ada banjir lagi. Kita ada pilihan raya dan semua orang selamat,” kata Dr. Mahathir.

Beliau ditemui selepas Program Suara Tanah Air anjuran Sayap Muda GTA, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir mendakwa UMNO mahu mengadakan pilihan raya pada musim banjir kerana pengundi sanggup turun mengundi kerana telah disogok.

“Mereka akan pilih masa untuk pilihan raya yang menguntungkan mereka. Sebab itu mereka merancang untuk mengadakan pilihan raya walaupun dalam banjir.

“Sebab itu mereka merancang untuk mengada pilihan raya pada penghujung bulan ini ataupun pada penghujung bulan November supaya walaupun kita hadapi banjir dan kita tak dapat keluar mengundi mereka akan dapat sokongan oleh orang yang disogok mereka.

“Mereka tak peduli walaupun banjir menyebabkan ramai yang mati. Itu masalah mereka. Bukan masalah kerajaan. Yang dikehendaki oleh mereka ialah memenangi pilihan raya dengan menggunakan duit, cash is king,” kata Dr. Mahathir.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi berkata, MKT UMNO bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini juga.

Berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette