Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Program Suara Tanah Air di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Rakyat keturunan Cina dan India tidak perlu takut dengan kerajaan majoriti Melayu seperti Gabungan Tanah Air (GTA) yang mewakili parti, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang terdiri daripada kaum itu.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kedudukan ekonomi masyarakat tersebut lebih baik selepas kemerdekaan di bawah pentadbiran orang Melayu berbanding semasa penjajahan.

“Kita tidak rampas siapapun punya harta. Orang Cina tidak hilang harta mereka. Bahkah kita beri kerakyatan kepada satu juta orang. Itulah pemerintahan yang dikuasai orang Melayu.

“Bukan sahaja itu bidang perniagaan juga terbuka bekalan kepada kerajaan juga terbuka kepada semua rakyat Malaysia khusus orang Cina kerana mereka lebih cekap dalam bidang ini.

“Kalau kita selidik kita dapati semua bilionair Cina hanya selepas orang Melayu memerintah,” kata Dr. Mahathir.

Hari ini, kata Dr. Mahathir, bilionair terdiri daripada orang Cina dan India dengan sembilan daripada 10 orang terkaya di Malaysia adalah kaum tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Program Suara Tanah Air anjuran Sayap Muda GTA di sini hari ini.

Sementara itu dalam sidang media, Dr. Mahathir dalam sidang media berkata, GTA masih menunggu keputusan permohonan pendaftaran parti itu.

Bagaimanapun beliau yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan meluluskan penubuhan parti itu.

“Saya diberitahu ada 30 parti-parti lain yang minta supaya didaftar. Sebab itu mereka tidak boleh percepatkan pendaftaran. Mungkin dalam bulan ini mereka akan daftar.

“Tetapi mereka juga memberi pengakuan bahawa tidak ada masalah mendaftar GTA kerana kita mematuhi semua peraturan dan undang-undang negara,” kata Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir berkata, sekiranya permohonan GTA tidak diluluskan sebelum PRU parti itu mempunyai perancangan yang lain.

Dalam pada itu menurut beliau, GTA akan meletakkan kira-kira 30 calonnya terdiri daripada orang muda.

“Kita harap boleh dapat hingga 30 peratus. Tapi terpulang kepada bakat-bakat yang ada dalam kalangan anak muda.

“Kalau kita tidak sampai 30 peratus kerana tiada bakat itu tidak boleh kita kecewa. Tapi kita harap akan dapat calon mungkin lebih 30 peratus,” kata Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette