Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada Jumaat depan masih terus mengutamakan agenda pembaharuan struktur bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Ia termasuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkukuhkan daya tahan rakyat dan perniagaan terhadap sebarang kejutan pada masa depan terutamanya cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius dan berterusan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan komited dalam memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dilindungi, tidak kira isi rumah, individu, mahupun perniagaan.

Beliau sekali lagi menegaskan, Malaysia bukan di dalam krisis kewangan atau ekonomi seperti mana pada tahun 1998, 2009, dan terkini, pada tahun 2020 kerana pada waktu itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masing-masing menyusut sebanyak -7.4% (1998), -1.5% (2009) dan -5.5% (2020).

Tahun ini, kerajaan yakin KDNK akan terus tumbuh lebih baik berbanding unjuran asal 5.3% hingga 6.3% dan keyakinan ini turut dikongsi oleh Bank Dunia yang telah menaikkan unjuran KDNK Malaysia tahun ini dari 5.5% kepada 6.4%.

Katanya, langkah-langkah proaktif kerajaan yang telah diumumkan seperti peruntukan subsidi hampir RM80 bilion termasuklah kawalan harga bagi pelbagai barangan asas akan terus melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga
yang didorong oleh faktor luaran yang di luar kawalan kerajaan.

Sejak pandemik bermula, kerajaan giat melaksanakan pembaharuan struktur bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, lestari dan saksama, seperti penambahbaikan jaringan keselamatan sosial, menangani isu pengangguran dalam kalangan belia, memastikan sekuriti makanan dan nutrisi, serta memudahcara pelbagai sektor ekonomi untuk beralih ke arah digitalisasi.

Kerajaan akan meneruskan projek-projek mesra rakyat dengan nilai pengganda yang tinggi seperti penambahbaikan perumahan rakyat, tebatan banjir, infrastruktur sumber air, elektrik, internet dan 5G, serta pengangkutan awam seperti MRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo.

Katanya, bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi dunia, kerajaan memerlukan kerjasama antara semua pihak, tidak kira sama ada antara negara, ahli politik, akar umbi, golongan professional mahupun penjawat awam.

”Walau apapun badai yang menimpa, saya yakin jika seluruh Keluarga Malaysia bersatu hati dan berganding bahu, kita akan dapat mengharungi segala cabaran ini bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette