Tze Tzin menunjukkan rangka kerja place making di Sungai Ara, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN BARU – Penempatan semula pasar pagi di Tingkat Sungai Ara 1 di sini, boleh dikategorikan sebagai projek serampang dua mata susulan kawasan itu bakal dibangunkan sebagai mini Petaling Street.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, penempatan semula di kawasan tersebut bukan saja diyakini mampu memacu sektor pelancongan di negeri ini malah turut membolehkan anak muda menjana pendapatan.

Jelas beliau, projek keseluruhan yang dijangka menelan kos berjumlah RM2 juta melibatkan tiga fasa termasuk menaik taraf tebing serta membina semula sebuah jambatan baharu yang menghubungkan orang awam ke kawasan tersebut.

“Kalau kita lihat seramai 300 penjaja berniaga di pasar pagi ini sejak 20 tahun lalu selain infrastruktur di sini tidak teratur sedangkan kawasan Sungai Ara mempunyai kepadatan penduduk lebih 100,000.

“Jadi kajian kita mendapati kawasan ini mempunyai potensi besar untuk peniaga serta anak muda menjana ekonomi sekali gus menjadi kawasan tarikan pelancongan.

“Boleh dikatakan kawasan ini bakal di label mini Petaling Street kerana Sungai Ara terletak di tengah-tengah dan bukan menjadi tumpukan daripada kalangan penduduk setempat, malah dari luar daerah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tze Tzin (depan) meninjau hakisan tebing di kawasan sungai Tingkat Sungai Ara 1 yang turut akan dinaik taraf menerusi place making Sungai Ara.

Terdahulu, Tze Tzin meninjau kawasan penempatan semula itu selain menegaskan pembinaan jambatan sedia ada di kawasan itu yang dianggarkan bernilai RM300,000 adalah merupakan peruntukan beliau selaku Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Jelas beliau, pembinaan semula jambatan dan benteng sungai ke Tingkat Sungai Ara 1 itu adalah salah satu daripada tiga fasa pembangunan di kawasan terbabit.

“Benteng sungai di kawasan itu dilihat semakin terhakis jadi untuk menghalang hakisan berlaku serta keselamatan penduduk kita jangka akan membangunkan semula jambatan baharu yang lebih ikonik.

“Pembinaan jambatan itu dijangka tahun ini dan ia adalah fasa pertama dalam pembangunan place making Sungai Ara.

“Ini mampu menghidupkan semula sektor pelancongan negeri sejajar dengan matlamat yang digariskan kerajaan negeri,” kata beliau.

Mengulas lanjut Tze Tzin berkata, idea menjadikan kawasan itu sebagai lokasi place making (penempatan semula)  juga tercetus selepas melihat ramai anak muda hilang punca pendapatan disebabkan pandemik Covid-19.

“Kita mahu sediakan satu platform kepada anak muda untuk mereka gunakannya bagi menjana pendapatan.

“Secara tidak langsung, ia menjadi nilai tambah dalam memperkenalkan identiti kita yang tersendiri dari segi nilai lokaliti, sejarah, budaya dan persekitaran,” jelas beliau. – MalaysiaGazette