SHAH ALAM – Kemunculan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam lanskap politik tanah air tidak akan menyebabkan perpecahan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda PBM, Na’im Brundage berkata, ini kerana parti mesra Barisan Nasional (BN) itu hanya akan meletakkan calon-calonnya di kerusi yang disandang dan dimenangi pada PRU14 lalu.
“Kita yakin dan percaya pengundi-pengundi ini tidak mudah untuk dipecah-belahkan tetapi mereka akan mengundi berdasarkan calon-calon yang mereka rasa mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“PBM yakin calon-calon kita mempunyai potensi yang amat besar untuk menang kerusi-kerusi yang dipertandingkan memandangkan mereka adalah penyandang di kerusi-kerusi tersebut.
“Jentera kita juga berpengalaman, jadi kami pasti kami tidak akan bertanding untuk memecahkan undi tapi untuk memastikan kemenangan parti kami sendiri,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menjangkakan kemunculan blok parti baharu seperti selepas keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh melebarkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Tengku Razaleigh berkata, perpecahan itu boleh mengakibatkan mana-mana parti politik sukar memperoleh kemenangan majoriti pada PRu15.
Sementara itu, Na’im meletakkan lima tawaran PBM sebagai sandaran untuk memenangi hati anak muda berusia 18 tahun ke atas yang kali pertama akan membuang undi dalam pilihan raya kali ini.
“Kita sering memperjuangkan isu-isu yang membabitkan anak-anak muda negara yang sekarang ini kita lihat menghadapi pelbagai masalah.
“Antaranya masalah pengangguran, hilang pekerjaan, gaji tidak setimpal, diskriminasi dan sebagainya.
“Pemuda PBM yakin dengan kita memperjuangkan isu mereka, kita mengangkat suara dan martabat mereka, kita boleh meraih sokongan mereka pada PRU15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette