Ketua Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) Na'im Brundage bercakap pada sidang media selepas Persidangan Agung Tahunan Perwakilan Pemuda PBM 2022 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, antara lima tawaran yang diketengahkan Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Pemudanya, Na’im Brundage berkata, pihaknya akan memperjuangkan pindaan undang-undang untuk menghalalkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

“Penggunaan ganja untuk tujuan perubatan ini tercetus selepas mendengar rintihan pesakit-pesakit penyakit kronik.

“Pemuda PBM yakin dengan lima tawaran ini, parti baharu itu dapat menarik lebih banyak sokongan daripada golongan pemuda-pemuda negara,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Selain itu, Pemuda PBM juga menawarkan pendidikan di peringkat universiti secara percuma sekiranya calon-calonnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 lalu.

“Pemuda PBM yakin bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi secara khususnya mempunyai sumber mencukupi untuk merealisasikan pendidikan percuma di peringkat universiti,” katanya.

Tambahnya, Pemuda PBM turut menawarkan Akta Gaji Sama Rata kepada golongan pekerja di negara bagi mengelakkan berlakunya sebarang diskriminasi gaji di tempat kerja.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengikut langkah negara-negara maju yang telah memperkenalkan akta-akta secara terperinci bagi mengelakkan berlakunya sebarang bentuk diskriminasi gaji di tempat kerja, sama ada diskriminasi kaum, jantina, agama atau kelainan,” katanya.

Bagi memastikan pentadbiran negara telus dan seimbang mewakili keperluan semasa, Pemuda PBM juga memperjuangkan kuota 30 peratus bagi anak muda di Parlimen, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

“Dengan kuota 30 peratus ini, anak muda dapat memastikan pentadbiran negara mencerminkan lebih ramai demografi pemuda,” katanya.

Katanya lagi, Pemuda PBM turut akan membawa usul Akta Anti Diskriminasi ke Parlimen sekiranya calon-calonnya terpilih dan memenangi PRU15.

“Penggubalan akta anti diskriminasi diperlukan untuk memastikan diskriminasi dapat dikurangkan di dalam setiap aspek kehidupan, hanya dengan itu sebuah masyarakat Bangsa Malaysia dapat dibentuk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast