Gambar hiasan

SERDANG – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah ungkapan yang menggambarkan kesukaran hidup Azimah Abdul Rahib yang terpaksa memikul anaknya ketika menghantar makanan kepada pelanggan walaupun berdepan panas terik serta hujan lebat.

Nasib ibu tunggal yang tular baru-baru ini di sebuah stesen minyak sambil erat mendakap anaknya yang buta sejak lahir itu turut mendapat perhatian Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Wanita cekal berusia 37 tahun itu melahirkan penghargaan kepada Yadim yang memberikan bantuan wang tunai dan barang keperluan asas ketika program Jualan Rakyat Keluarga Malaysia YADIMart hari ini.

Mengakui terpaksa mempertaruh nyawa anak ketika bekerja sebagai penghantar makanan Food Panda, namun dia tiada pilihan lain selepas hilang pekerjaan sebagai pembantu dobi ketika pandemik Covid-19 yang lalu.

Rider makanan, Azimah Abdul Rahib ketika bercakap kepada media. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 OKTOBER 2022.

“Pandemik dulu saya hilang pekerjaan sebagai pembantu dobi dan saya terpaksa buat kerja ini sebab hanya pekerjaan ini yang boleh saya bawa anak ketika kerja. Saya pernah hantar kepada pengasuh tapi mereka jaga sambil lewa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Lebih menyukarkan, anak yang berumur enam tahun itu juga disahkan hiperaktif dan ia memerlukan perhatian si ibu hampir sepanjang masa.

Namun, Azimah tetap bersyukur menghadapi dugaan itu kerana sokongan masyarakat terhadapnya tidak pernah putus termasuk pelanggan yang sabar menunggu jika berlaku kelewatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, Azimah merupakan salah seorang asnaf yang mendapat perhatiannya atas kecekalan seorang ibu tunggal membesarkan anak istimewa.

Jelasnya, program hari ini bertujuan menyantuni kumpulan penerima asnaf khususnya yang pernah dibantu ketika pandemik Covid-19 dengan tumpuan di sekitar Seri Kembangan, Serdang dan Kajang.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh ketika bercakap kepada media. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 OKTOBER 2022.

“Program hari ini kita tawarkan harga barangan keperluan dengan potongan harga 50 peratus kepada semua khusus bagi menyantuni golongan asnaf. Program ini telah mendapat restu dan sokongan Perdana Menteri kerana kita meminjam jenama Keluarga Malaysia dalam jualan hari ini,” ujarnya.

Sebagai rekod, YADIMart merupakan anak syarikat di bawah Yadim yang mula berkembang dengan satu lagi cawangan baharu akan dibuka di Bangi pada bulan depan.

Ia mula dibuka pada April tahun lalu sebagai inisiatif gerakan dakwah dalam bidang ekonomi perniagaan bagi menjana pendapatan untuk dimanfaatkan kepada ummah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast