Kalsom menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Negeri Melaka, di Bachang, Melaka hari ini.

MELAKA – Seramai 88 kanak-kanak di negeri ini menjadi mangsa penderaan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 51 kes atau 57 peratus melibatkan penderaan fizikal dan 37 lagi jenayah seksual.

Menurutnya, angka tersebut dilihat membimbangkan dan menyedihkan apabila rekod menunjukkan pelaku terdiri daripada ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, pihak taska dan pusat jagaan.

“Selain itu, rekod daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri dalam tempoh sama juga menunjukkan sebanyak 43 kes adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

“Ini menyaksikan peningkatan lebih 50 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang hanya mencatatkan 17 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Negeri Melaka, di Bachang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua kanak-kanak kurang bernasib baik itu berjaya diselamatkan JKM dan percaya jenayah berkenaan berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya ketidakstabilan emosi si pelaku.

“Ini dapat dilihat apabila sebahagian kes berpunca daripada sikap ibu bapa yang gagal mengawal rasa marah sehingga melepaskan tekanan itu kepada anak-anak.

“Sebab itu di JKM, kita ada sediakan rumah transit sebagai tempat perlindungan sementara mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga sehinggalah institusi keluarga itu kembali normal,” katanya. – MalaysiaGazette.