Aminuddin Harun
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR mendakwa mereka dan seorang lagi wakil rakyat cuba diketepikan daripada menganggotai Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan.

Mereka ialah ADUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek serta Datuk M. Ravi (Port Dickson), Datuk Michael Yek Diew Ching (Chuah) dan Mohamad Nazaruddin Sabtu (Pilah).

Mohamad Rafie, Ravi dan Michael dalam kenyataan bersama menyatakan, kenyataan media pertama oleh Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memuktamadkan barisan kepimpinan MPN PKR negeri telah mengetepikan nama mereka berempat.

“Kenyataan flip-flop kedua Aminuddin kemudian pada 29 September 2022 telah menambah empat nama ADUN berkenaan sebagai ‘jemputan’ dalam senarai Ahli MPN Negeri Sembilan.

“Justeru, kami mengambil maklum usaha Aminuddin untuk mengenepikan empat ADUN ini,” kata mereka.

Mereka memberitahu, Perlembagaan PKR secara jelas dalam Perkara 27.3 (k) menyatakan “anggota parti yang menjadi ADUN dan Ahli Parlimen dari kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negeri berkenaan” adalah Ahli MPN.

“Ini bermakna ADUN tidak wajar diketepikan sebagaimana dalam kenyataan media beliau yang pertama mahupun dalam kenyataan media beliau kedua yang hanya mengkategorikan ADUN sebagai sekadar ahli ‘jemputan’ MPN Negeri Sembilan,” jelas mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast