KOTA BHARU – Gerakan Tanah Air (GTA) Kelantan menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya gagasan itu ditubuhkan untuk memenuhi kehendak dan cita-cita politik Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pengerusinya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, dakwaan itu tidak benar sama kerana GTA dicetuskan oleh empat parti Melayu yang bertekad untuk mengembalikan kepentingan bangsa itu yang sudah banyak musnah dan terancam.
“Pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap GTA dilemparkan pihak tertentu, kononnya hendak mengembalikan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri kali ketiga dan untuk membina landasan politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Ianya tidak benar. GTA adalah gagasan yang dilahir dan dicetuskan oleh parti Putra, Berjasa, Pejuang dan Iman. Kami tekad untuk mengembalikan kepentingan orang Melayu yang terancam dan mendaulatkan Islam agama Persekutuan.
“Rakyat terus derita, tertekan dan umat Melayu terus terpinggir. Selama 20 tahun dari sekarang atau kurang dari 20 tahun, apakah Melayu akan selamat dan tidak hilang tanah dan bumi dipijak, manakala negara pula terus porak peranda,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Turut hadir, Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Pengerusi Pejuang Kelantan, Datuk Sazmi Miah dan Iman.
Menurut Ibrahim, itulah yang tersirat dari empat parti Melayu yang melahirkan GTA, bukan untuk kepentingan peribadi Dr. Mahathir sebagaimana tohmahan sesetengah pihak.
Katanya, mereka berbincang dan bersemuka sebelum mencapai kata putus menubuhkan GTA sebagai wadah baharu perjuangan bangsa yang bersih, bermoral dan teras piagam yang tegas untuk mengerakkan agenda Melayu serta Islam bagi memulihkan negara demi kepentingan semua rakyat berbilang kaum.
“Oleh kerana Tun Mahathir tokoh negarawan yang hebat, sangat berpengalaman dan terkenal sebagai pemimpin bertaraf dunia, wajarlah kami sebulat suara merayu dan memintanya menjadi Pengerusi untuk memimpin GTA.
“Walaupun umurnya sudah 97 tahun namun kesihatannya masih baik, cergas dan pemikirannya sukar ditandingi oleh mana-mana pihak. Malah bersih dari segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Ini fakta bukan auta.
“Saya harap, ahli dari empat parti dalam GTA ini tidak termakan dengan dakyah jahat pihak tertentu terhadap Tun Mahathir selain ada yang menuduh gagasan ini akan memecah belahkan undi rakyat, di mana tidak mungkin ada parti atau blok yang akan menang secara dominan,” katanya.
Katanya, mereka mendakwa asas kestabilan politik ialah mesti dengan kemenangan dominan satu blok atau parti.
“Jika selepas PRU-15, keputusan berpihak kepada pelbagai blok atau parti maka terpaksalah wujud kerajaan campuran. Ini katanya tidak baik. Sebenarnya ini yang terbaik kerana ianya memberi kesan semak dan imbang.
“Satu parti tidak boleh lagi bermaharajalela sesuka hati seperti sebelum ini. Jika satu parti, Perdana Menteri dan Presiden parti begitu berkuasa sehingga Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Parlimen atau Kabinet menjadi rubber stamp sahaja.
“Sebab itu jika ada pelbagai blok bekerjasama, ianya pasti dapat memastikan tadbir urus kerajaan yang baik kerana banyak pihak terlibat, bukan dari satu parti sahaja. Saya harap rakyat faham kebaikan dan faedah dengan wujudnya GTA yang dapat memberi kesan politik positif kepada mereka dan umat Melayu,” ujarnya.
Ibrahim yang juga Presiden Putra berkata, politik Melayu sekarang semakin kelam kabut dan serabut kerana UMNO, Pas dan Bersatu masing-masing bergolak dan berkecamuk.
“Begitu juga serpihan parti politik Melayu yang bersifat liberal dan sekular bersama PKR, Parti Amanah dan sebahagian lagi dengan DAP yang mendakwa parti multi racial serta kini MUDA pula menyertai Pakatan Harapan (PH).
“DAP sedang dominasi dan manipulasi sekutunya untuk memenuhi agenda politik mereka membebaskan negara ini daripada kuasa Melayu dan Islam secara halus. Melayu yang menyokong agenda mereka adalah rakan sekutu, manakala yang menentang mereka adalah musuh,” katanya. – MalaysiaGazette