Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Bahagian-Bahagian dan Pelancaran Jentera Pilihanraya di Glenmarie Hotel dan Golf Resort, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 02 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – UMNO digelar sebagai sebuah parti gila kerana mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) pada tahun ini juga.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mengadakan PRU-15 ketika negara dijangka melanda banjir sesuatu yang tidak masuk akal.

“UMNO ini sudah gila, dia tahu nak masuk musim banjir, dia tekan juga kerajaan untuk bubar Parlimen tapi yang gila itu dua tiga kerat sahaja.

“Antaranya presidennya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang gila, dia juga anti sains kerana kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Jabatan Metereologi sudah cakap masuk November peralihan monsun.

“Seperti tahun lalu, banjir yang melanda negara tidak sama seperti tahun sebelum ini kerana ia aman perubahan iklim.

‘Sesiapa yang tidak memahami ilmu sains, dia pasti bodoh dalam memahami banjir kali ini, banjir ini akan besar dan menyusahkan rakyat,” katanya ketika berucap dalam persidangan Bahagian Bersatu dan pelancaran jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor, hari ini.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut dihadiri Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

UMNO pada Jumaat lalu memutuskan untuk menggesa agar pembubaran Parlimen perlu dibuat segera bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini juga.

Perkara itu diputuskan parti pimpinan Ahmad Zahid semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast