KUALA LUMPUR – Bantahan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap hasrat Barisan Nasional (BN) mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih awal dilihat hanya sebagai strategi mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan mereka dahulu.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata, jelas PH ‘bijak’ dengan strategi politiknya iaitu menyalahkan kerajaan yang kononnya tidak menghiraukan kepentingan rakyat.
Namun, katanya, pada masa yang sama, mereka giat berkempen bagi meraih sokongan seolah-olah esok adalah hari mengundi.
“PH dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk menutup memori pengundi susulan kegagalan PH selama menjadi kerajaan pada tahun 2018.
“Walaupun sudah diberikan kepercayaan dan mandat rakyat pada PRU-14 lalu, namun PH gagal memberikan prestasi yang baik kepada rakyat, malah pemerintahan PH menjadikan Malaysia melalui zaman gelap selama 22 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika ini, pemimpin-pemimpin PH mendesak supaya PRU-15 tidak diadakan hujung tahun ini agar tidak bertembung dengan musim banjir.
Chin Kok menambah, kebanyakan pemimpin PH menyebarkan propaganda kononnya kerajaan tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat kerana mahu mengadakan PRU-15 semasa musim banjir.
Beliau memberitahu, para pemimpin PH tetap berbuat demikian walaupun Parlimen belum dibubarkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh-tarikh penting PRU-15.
“Malah terdapat juga segelintir pemimpin pembangkang yang mengheret rakyat turun ke jalan raya untuk mengadakan protes, juga menggunakan naratif sama, kononnya kerajaan tidak prihatin dengan keselamatan rakyat.
“Namun apa yang menghairankan, kebanyakan pemimpin PH dilihat aktif dengan aktiviti kempen politik seperti Jelajah Trak Ayuh Malaysia dan kempen-kempen politik di media sosial,” jelasnya.
Malah, kata Chin Kok, setiap hari tanpa gagal, terdapat laporan mengenai persiapan PRU-15 oleh pembangkang khususnya PH seperti perbincangan pengagihan kerusi, logo untuk digunakan, calon Perdana Menteri dan janji-janji manifesto. – MalaysiaGazette