Muhammad Helmi Abdullah.-Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Rakyat diminta supaya tidak merasa terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan dalam laman sesawang rasmi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia kepada rakyat mereka di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, rakyat dinasihatkan supaya melakukan persiapan sewajarnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di negara ini pada setiap tahun.

MTL dijangka bermula pada pertengahan November ini dan berakhir pada Mac tahun depan.

“MET Malaysia melakukan pemantauan cuaca secara berterusan 24 jam sehari sepanjang tahun.

“Dan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora serta siklon tropika.

“Amaran cuaca tersebut akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga Amerika Syarikat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang awam mengikut arahan agensi-agensi pengurusan bencana negara semasa kejadian banjir.

Rakyat juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca.

Orang ramai juga boleh memperolehi maklumat mengenai cuaca di media rasmi MET Malaysia serta talian 1-300-22-1638.

Pada 27 November lalu, Kedutaan AS di Malaysia mengeluarkan amaran cuaca di laman sesawang.

Menurut kedutaan tersebut, musim Siklon Tropika di Lautan Pasifik Selatan bermula 1 November 2022 dan berakhir pada 30 April 2023.

“Di Malaysia, taufan tropika sering disertai dengan ribut hujan berterusan dan banjir di beberapa bahagian negara, termasuk Kuala Lumpur.

“Hujan lebat dan ribut petir yang teruk ini boleh mengakibatkan gangguan elektrik yang meluas dan kekurangan air.

“Warga A.S. di Malaysia dinasihatkan supaya bersedia lebih awal untuk kemungkinan gangguan utiliti, kerana gangguan boleh berlangsung beberapa hari,” katanya. – MalaysiaGazette