Ibu, Zailam Soid, 73 sebak semasa bercakap kepada media mengenai anaknya Allahyarham Muhaimin Said, 34 penghantar makanan maut akibat dirempuh sebuah kenderaan ketika di Jalan Haji Musran, Rantau Panjang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 03 OKTOBER 2022.

KLANG – Kematian penghantar makanan, Allahyarham Muhaimin Mohad Sain@Mohd. Said selepas terlibat dalam kemalangan sangat memberi kesan kepada ibunya, Zailan Soid.

Ini kerana kebaikan anaknya menguruskan keperluannya selama ini.

Zailan, 72, walaupun terpaksa reda dengan ketentuan tuhan namun kebaikan arwah tidak mungkin dilupakan apatah lagi Muhaimin bukan sahaja sanggup menyuapkan makanan bahkan menukar lampin pakai buang dewasanya.

“Dia anak kesayangan mak cik, segala urusan mak cik dia uruskan, kalau balik kerja, arwah bawa makanan, dia suapkan mak cik.

“Mak cik pakai pampers (lampin pakai buang dewasa) setiap malam, tak boleh ke bilik air, anak-anak tak bagi, kadang-kadang dia pakaikan.

“Kalau belum (pakai), dia (arwah) pakaikan, itu yang saya tak dapat lupa. Kuku kaki mak cik pun dia buang, kalau orang tak ada macam mana,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Sebelum ini, Muhaimin, 34, terkorban akibat dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Haji Sirat, Meru di sini pada 3 September lalu.

Akibat rempuhan tersebut, arwah ketika kejadian dalam perjalanan untuk mengambil pesanan makanan pelanggan disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan organ dalaman.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menyerahkan sumbangan faedah PERKESO kepada Nur Irwana Othman, 26 yang kehilangan suaminya Allahyarham Muhaimin Said, 34 merupakan penghantar makanan yang maut akibat dirempuh sebuah kenderaan ketika di Jalan Haji Musran, Rantau Panjang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 03 OKTOBER 2022.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menyerahkan dua faedah badan itu kepada balunya, Nur Izwana Othman.

Nur Izwana, 26, menerima Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan untuk Akta 4 berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

Selain itu, balu arwah juga menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837 sebulan yang akan dibayar seumur hidup.

Waris juga menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 untuk sekali bayar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi Akta 789.

Dalam pada itu, Zailan menyifatkan penerimaan manfaat itu tidak sama dengan kehilangan nyawa anak bongsunya itu yang tidak boleh ditukar ganti.

“Duit tak sama dengan nyawa tapi nak buat macam mana, ketentuan Allah, dia memang anak yang baik,” katanya.

Selain itu, masakan kampung dan baju kerja arwah akan menjadi kenangan buat Zailan meskipun anaknya baru dua tahun bekerja dalam sektor gig ekonomi itu.

“Makanan kegemaran dia masakan kampung, tempe, kicap, kenangan anak makcik, bila nampak baju kerja dia. Dia baru dua tahun hantar makanan, sebelum ini kerja kerani sebuah kilang. Malam sebelum kejadian, dia tidur rumah mak cik dua malam, Jumaat dia tidur hospital.

“Rabu lepas, dia ada bawa mak cik ambil darah dekat Klinik Kesihatan Rantau Panjang, kejadian pula Jumaat, mana mak cik tak terperanjat, tahu-tahu dia sudah tak ada (mati),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PERKESO serah dua faedah kepada waris penghantar makanan maut kemalangan