BAYAN BARU – Seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sampan di perairan Jelutong, ditemui meninggal dunia.
Mangsa, Mohd Shahrul Mansor, 37, ditemui terdampar di pantai Pulau Jerejak, di sini, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengenai penemuan satu mayat lelaki pada tengah hari semalam.
“Selepas menerima maklumat tersebut, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.
“Hasil siasatan mendapati mangsa terjatuh dari sampan di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan pada Sabtu lalu.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette