Haniza Talha PBM UMNO
Haniza Talha

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyifatkan keputusan UMNO memberi lebih banyak peluang kepada golongan wanita bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) satu langkah yang tepat.

Timbalan Presiden PBM, Haniza Talha berkata, partinya adalah penyokong kuat dalam usaha meningkatkan penyertaan lebih ramai wanita.

Menurut beliau, keputusan UMNO untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada PRU-15 akan membantu parti itu dalam memenangi sokongan daripada pengundi wanita.

“Di peringkat global, standardnya kini adalah 30 peratus perwakilan wanita dalam kerajaan. Pada masa ini, wanita hanya merangkumi kira-kira 15 peratus daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan hanya 15.6 peratus daripada menteri Kabinet kita adalah wanita.

“Hampir separuh daripada daftar pemilih Malaysia ialah pengundi wanita dan mereka akan menjadi blok penting dalam PRU-15 akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO Jumaat lalu bersetuju untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam PRU-15.

Haniza menambah, PBM juga berharap lebih ramai lagi calon wanita akan menang pada PRU-15.

Beliau memberitahu, hanya melalui perwakilan politik, suara wanita dapat didengar dan masalah mereka ditangani.

“PBM juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi mandat secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai awam di Malaysia,” jelasnya.

Haniza berkata, hanya tinggal lapan tahun lagi bagi Malaysia untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang turut merangkumi penyediaan peluang sama rata kepada wanita dan lelaki dalam bidang politik, ekonomi dan lain-lain. – MalaysiaGazette