kuda tunggangan
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sikap pemimpin pembangkang berterusan menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai aneh.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pembangkang menggunakan isu banjir bagi menggelak PRU telah mempamerkan ketakutan mereka untuk berdepan gelombang penolakan penyokong sendiri.

Lebih mendatangkan keanehan, menurut Ahmad Zahid apabila pembangkang membuat jelajah berkempen politik di seluruh negara tanpa mengira faktor hujan atau panas.

“Naratif lemah mereka cuba menyatakan banjir berlaku seluruh negara. Mereka lupa pilihan raya umum dan malah pilihan raya negeri pernah diadakan pada bulan November dan Disember.

“Sifat ketakutan pembangkang terserlah apabila mengabaikan fakta dan hujah mengenai banjir dan pilihan raya. Nampaknya auta mereka semakin terserlah dan menjadi jenaka negara,” kata Ahmad Zahid.

Presiden UMNO itu berkata, pembangkang sekali lagu memainkan politik persepsi seperti yang dilakukan dalam PRU-14 dengan mendakwa banjir besar akan melanda negara mulai pertengahan bulan November.

Bagaimanapun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menafikan perkara berkenaan dan menjelaskan bahawa ia kurang tepat.

“Hal ini menunjukkan betapa terdesaknya pembangkang takut berdepan pilihan raya umum berlaku. Mereka takut dihukum oleh pengundi mereka sendiri yang sedar apabila PH gagal melaksanakan manifesto mereka.

“Sebaliknya sibuk berebut jawatan perdana menteri di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga mengabaikan kebajikan rakyat,” kata Ahmad Zahid.

Lebih dangkal apabila pembangkang cuba menggunakan isu perayaan Deepavali, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri untuk mengelak pilihan raya, katanya.

Pembangkang, menurut Ahmad Zahid, seolah-olah lupa BN mempunyai pengalaman dalam mengatur dan mengendalikan pilihan raya.

“Mereka lupa BN mempunyai pengalaman dalam mengatur dan mengendalikan pilihan raya dan tahu masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya.

“Pembangkang umpama cuba mengajar itik berenang di kolam. Sedangkan mereka sendiri kurang mampu membawa idea segar untuk rakyat,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang kini dalam keadaan bimbang yang kezaliman yang mereka lalukan selepas menang PRU-14 akan dibalas.

Namun katanya, pembalasan terhadap mereka akan tiba dan inilah yang mereka cuba elakkan.

“Kebenaran tetap tiba dan menangguh kebenaran sukar dielakkan!” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast