KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadiri perjumpaan khas dengan kepimpinan UMNO bahagian semua peringkat esok.
Merujuk kepada salinan surat ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilihat MalaysiaGazette, perjumpaan tersebut akan berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pukul 2 petang.
“Semua ketua UMNO bahagian, ketua Wanita UMNO bahagian, ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian dan ketua Pergerakan Puteri UMNO bahagian adalah dijemput untuk hadir ke majlis tersebut di atas,” katanya dalam surat bertarikh 30 September 2022 itu.
Bagaimanapun, tujuan perjumpaan khas itu diadakan tidak dinyatakan dalam surat tersebut.
Terdapat desas-desus yang mendakwa perjumpaan tersebut antara lain bertujuan membincangkan pembubaran Parlimen dan persiapan jentera parti di peringkat akar umbi.
Selain itu, terdapat kemungkinan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.
Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disuarakan sebahagian besar UMNO cawangan yang bermesyuarat sepanjang bulan lalu.
Lima pemimpin tertinggi UMNO juga telah mengadakan perbincangan tentang tarikh PRU-15 Jumaat lalu. – MalaysiaGazette