Seorang lelaki dijatuhi hukuman lapan bulan penjara di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mengugut menikam isterinya dan memaksanya melakukan hubungan seks.

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman lapan bulan penjara di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengugut mahu menikam isterinya dan memaksa melakukan hubungan seks.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Faidros Mustafa, 41, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, suspek dalam suatu perkahwinan yang sah telah menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya, Rohani Mohamed Kassim untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

Kesalahan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Batu 2 1/2, Balai Panjang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 9 malam pada 9 Mei lalu.

Sabit kesalahan di bawah seksyen itu, mana-mana suami yang menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan kepada isterinya atau mana-mana orang lain untuk mengadakan persetubuhan boleh dituduh dan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengugut untuk menikam perut isterinya itu jika enggan menuruti kehendaknya melakukan hubungan seks selain pengadu juga dipaksa mengambil dadah jenis syabu.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan dan penjara dari tarikh ditangkap selain telah insaf serta tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Ogos lalu. – MalaysiaGazette.