asyraf wajdi dusuki pasca banjir
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mungkin terhutang budi dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang telah menggugurkan kes beliau ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Justeru menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam membalas jasa Tommy, Rafizi telah melemparkan tuduhan bahawa UMNO bersikap perkauman terhadap Tommy.

“Tapi itulah. Mungkin sebab Rafizi terhutang budi kepada Tommy sebab masa Tommy jadi Peguam Negara, banyak kes-kes jenayah Rafizi telah digugurkan termasuk satu kes di mana Rafizi sudahpun disuruh bela diri.

“Kes tersebut digugurkan oleh pendakwa raya pada hari pertama Rafizi sepatutnya mula membela diri.

“Saya turut nak tanya pendapat Rafizi. Adakah Rafizi akan sokong sekiranya seorang peguam luar yang merupakan penyokong tegar UMNO dilantik sebagai peguam negara dan seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sebagaimana dilakukan kerajaan Pakatan Harapan sebaik sahaja mereka berkuasa?” tanya

Rafizi semalam dilaporkan berkata, UMNO didakwa sengaja menggunakan isu siasatan ke atas buku tulisan Tommy untuk membangkitkan sentimen perkauman supaya orang Melayu menyokong mereka.

Asyraf Wajdi berkata, pengumuman Kerajaan supaya agensi berkaitan menjalankan siasatan lanjut ke atas Tommy adalah berdasarkan laporan panel penyiasat khas yang telah menjalankan siasatan selama sembilan bulan.

Sekiranya Rafizi memandang penting kedaulatan undang-undang dan institusi kehakiman beliau sepatutnya menyokong siasatan lanjut terhadap Tommy dan mendesak kerajaan mengeluarkan laporan penuh panel siasatan khas tersebut.

“Isu penyalahgunaan kuasa dalam isu perlantikan hakim tak penting bagi Rafizi. Isu kebebasan badan kehakiman dia tolak ke tepi.

“Dakwaan campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan pengadilan, Rafizi fikir ini boleh diterima?

“Adakah Rafizi fikir pendakwaan terpilih dan bersifat politik sesuatu yang adil?” tanya Asyraf Wajdi.

Pada 13 Disember 2019 selepas Pakatan Harapan menjadi Kerajaan, Pejabat Peguam Negara telah menarik balik rayuannya ke atas pembebasan Rafizi terhadap tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Didakwa pada 2012, Rafizi dan seorang lagi dijatuhkan hukuman bersalah pada 2018, kerana melanggar Akta Bafia dengan mendedahkan butiran perbankan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Pada 30 September lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku  Tommy, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkan bekas Peguam Negara itu.

Perdana Menteri berkata, siasatan akan dilakukan antaranya di bawah Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” telah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri  dan telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil. – MalaysiaGazette