Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dalam Kabinet diminta mempertegaskan pendirian di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah tidak wajar untuk mengadakan PRU memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi.

Ini kerana katanya, banjir dijangka berlaku terutamanya melibatkan negeri-negeri di kawasan pantai timur.

“Mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, rakyat terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.

Justeru katanya, penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023.

“Anggota jemaah menteri dari Perikatan Nasional telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional juga diminta mengambil pendirian yang sama,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast