tuala wanita
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin UMNO yang dianggap intelektual tetapi telah merendahkan martabat mereka sehingga menjadi ‘macai’ kepada partinya.

Ini kerana mereka didakwa mengeruhkan keadaan ekoran berlaku perbezaan pendapat menteri dalam kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) hari ini, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Terutamanya sahabat saya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan Suffian.

“Nak komen bagi pandailah sikit. Ini menurunkan status dia daripada mereka yang sepatutnya ada daya intelektual, jadi macai pula bila masuk UMNO,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Saiful, perbezaan pandangan dan kritikan oleh pemimpin-pemimpin  dalam parti gabungan yang membentuk pentadbiran kerajaan hari ini adalah perkara biasa.

Beliau berkata, sistem kerajaan gabungan telah diamalkan banyak negara demokrasi yang lebih matang di mana semakin dekat pilihan raya semakin ketara perbezaan mereka yang duduk bersama dalam kerajaan.

“Kalau dilihat negara-negara demokrasi yang lebih matang yang amalkan sistem kerajaan gabungan seperti di Jerman, di United Kingdom, Australia, New Zealand. Apa yang berlaku adalah gabungan kerajaan dibentuk selepas pilihan raya.

“Kalau hari ini duduk sekali dalam kerajaan sekali pun, semasa berkempen dan menuju ke pilihan raya, mereka akan cuba tunjuk perbezaan walaupun sama-sama duduk dalam kerajaan.

“Ini perkara biasa, menteri-menteri pun tahu ini perkara biasa, sebab itu kita (kerajaan) boleh berfungsi macam biasa. Kita fokus memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.

“Tetapi ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang cuma menimbulkan persoalan ini pun masih tidak tahu dan perlu lebih belajar,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful menggesa seluruh jentera Bersatu Selangor supaya merapatkan saf dan menunjukkan kesatuan dalam parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Menurutnya, jika semangat itu diikuti maka tidak mustahil Bersatu dalam gabungan PN akan mengambil alih pemerintahan Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) kali ini.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, jika sesama ahli parti mahu menunjukkan perbezaan dan bertelagah antara satu sama lain menjelang PRU, segala usaha yang dilakukan parti hanyalah sia-sia. – MalaysiaGazette