NHK memaklumkan mengenai bedilan peluru berpandu oleh Pyongyang yang merentasi Jepun. Foto Twitter

SEOUL – Korea Utara didakwa melepaskan lagi peluru berpandu balistik jarak pertengahan ke bahagian utara Jepun.

Ia merupakan bedilan pertama ke arah Jepun sejak tahun 2017.

Pejabat Perdana Menteri Jepun berkata, sekurang-kurang satu peluru berpandu merentasi Jepun dan ia telah mendarat di Lautan Pasifik.

Susulan itu, Kerajaan Jepun mengeluarkan ‘J-alert’ dengan memberi amaran agar penduduk Pulau Hokaido supaya berlindung di tempat selamat.

”Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu. Sila berpindah ke dalam bangunan atau bawah tanah,” kata Kerajaan Jepun dalam amaran yang dikeluarkan pada jam 7.29 pagi hari Selasa.

Pegawai berkata, peluru berpandu itu jatuh ke Lautan Pasifik kira-kira 3,000 kilometer (1,860 batu) dari Jepun dan tiada kecederaan dilaporkan berkaitan.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu, menyifatkan pelancaran itu sebagai “tingkah laku ganas” dan Kerajaan Jepun telah memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara negaranya.

Pelancaran itu merupakan peningkatan yang disengajakan yang direka untuk mendapatkan perhatian Jepun dan Amerika Syarikat kerana telah mengabaikan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Tindakan Pyongyang itu bertentangan sepenuhnya dengan norma antarabangsa untuk menerbangkan peluru berpandu ke arah atau ke atas negara lain tanpa sebarang amaran atau perundingan awal.

Kebanyakan negara mengelak daripada melakukannya sepenuhnya kerana ia boleh disalah anggap sebagai serangan dan sangat provokatif.

Bedilan itu dilakukan ketika Jepun, AS dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan tiga hala awal minggu lalu.

Pelancaran peluru berpandu itu adalah yang kelima dilakukan oleh Pyongyang dalam masa seminggu.

Pada hari Sabtu lalu, dua roket jatuh di perairan di luar zon ekonomi eksklusif Jepun. – Agensi