Abdul Hadi Awang.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Pas sekali lagi menyatakan pihaknya tidak bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan faktor ekonomi dan iklim semasa, PRU-15 tidak perlu disegerakan.

“Pas berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan.

“Mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan
musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Abdul Hadi berkata, parti Pas tetap berpendirian bahawa keutamaan harus diberikan kepada negara dan rakyat.

Ini termasuk memberi sokongan padu kepada segala tindakan yang sedang diambil untuk memulihkan ekonomi terutama melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini.

“Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan.

“Di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai pihak bagi menjayakan perpaduan ummah.

Pas mahu mengelakkan pertembungan parti-parti Melayu Islam pada PRU-15 dalam usaha menewaskan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

“Bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan PH,” kata Abdul Hadi.

Khabar angin bertiup kencang bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan Parlimen selepas Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat.

Berita pembubaran Parlimen diperkuatkan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO minggu lalu yang mahu PRU-15 diadakan tahun ini.

Bagaimanapun sehingga hari ini, Ismail Sabri masih lagi berahsia tarikh pembubaran Parlimen. – MalaysiaGazette