KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya berhati-hati dengan manifesto yang akan dibentangkan oleh Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ramai yang masih ingat manifesto PH pada PRU-14 yang disifatkan sebagai sebuah dokumen yang sangat licik, manipulatif dan berbahaya.
“Ia pernah merosakkan rasional manusia. Mereka yang pernah ‘mengimaninya’ terawang-awang dalam halusinasi fantasi tidak bertepian sehingga meranap intelek dan logik akal.
“Dokumen bukan kitab suci muncul sekitar tahun 2018 ini menghasut gelora nafsu manusia lalu memusnahkan kejujuran dan realistik insani.
“Manusia yang ‘menganutinya’ dijanjikan ‘syurga dunia’ serta kemewahan tidak masuk akal menyebabkan begitu ramai terpesona lalu dimangsakan,” katanya.
Presiden UMNO itu mendakwa, selepas PRU-14, sejarah mencatatkan bahawa manifeso PH itu ternyata sarat kepalsuan, pembohongan, penipuan yang memesongkan dengan janji-janji manis.
Beliau berkata, manifesto PH umpama ‘bulan dan bintang’ yang tampak menarik dan mampu digapai dengan mudah tetapi realitinya sejauh 384,400 kilometer dari bumi.
“Setakat ini tiada siapa berani mengaku mencipta dokumen tipu daya ini – petunjuk paling hampir cumalah individu mengaku menjadi tukang tulis.
“Hanya yang pasti terdapat gerombolan yang suatu ketika dulu menjadikan dokumen bukan kitab suci ini alat untuk memanfaatkan kepentingan mereka.
“Selepas manfaat telah dikaut, mereka cuba membuat manusia terlupa kewujudan dokumen ini dengan pelbagai penceritaan untuk mengelirukan,” tambah Ahmad Zahid.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, PH pastinya akan mengeluarkan manifesto PRU-15 dengan janji-janji yang akan sama seperti yang ditabur pada PRU-14.
Justeru beliau mengingatkan pengundi agar lebih berhati-hati dan tidak lagi mudah diperdaya seperti yang berlaku pada PRU-14.
“Justeru, rakyat Malaysia haruslah berhati-hati kali ini. Usah terlalu mudah dihalusinasi lagi oleh kelicikan dan manipulasi yang amat berbahaya serta memusnahkan itu.
“Beringatlah kepada kisah seperti mansuhkan tol dan PTPTN percuma, Insya-Allah kita akan mengetahui apabila ia telah kembali,” kata Ahmad Zahid.
Untuk rekod, selepas PRU-14 PH dikritik kerana gagal menunaikan manifesto yang dikemukakan.
Malah Perdana Menteri yang memimpin Kerajaan Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diasak supaya menunaikan janji-janji tersebut mengeluarkan kenyataan bahawa ‘manifesto bukan kitab suci’. – MalaysiaGazette