Wan Rosdy Wan Ismail membawa jentolak ketika merasmikan pembukaan jalan FT008 Jalan Bentong-Gua Musang Seksyen 16 di Bentong yang telah siap dibaiki, hari ini.

BENTONG –  Kerajaan Pahang masih belum membincangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara itu masih belum dibincangkan walaupun spekulasi pembubaran Parlimen begitu kuat.

“Kita masih belum bicang tentang pembubaran DUN, belum ada apa-apa lagi,” katanya ketika ditanya sama ada Pahang akan membubarkan secara serentak.

Beliau juga berkata, pada masa ini Barisan Nasional Pahang masih belum membuat perbincangan dan keputusan penempatan serta pembahagian kerusi komponen itu bagi Dewan Undangan Negeri itu dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Masih belum bicang dengan presiden lagi tentang pembahagian kerusi BN di semua DUN,” katanya ringkas.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Jelai mengesahkan pembentangan Belanjawan 2023 Negeri Pahang akan berjalan seperti yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan jalan di FT008 Jalan Bentong-Gua Musang Seksyen 16 di Bentong selepas kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan yang runtuh selesai dibaiki.- MalaysiaGazette