KUALA LUMPUR – Hanya wadah perjuangan mulia dan berprinsip Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad sahaja yang boleh menyelamatkan negara ini daripada terus hancur.
Sehubungan itu, Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, rakyat seharusnya menyokong GTA pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menebus semula maruah bangsa dan negara.
Beliau yang juga Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan memberitahu, GTA yang diasaskan Dr. Mahathir kekal berprinsip sejak dahulu, kini dan selama-selamanya ke arah memperkasakan kedudukan Melayu serta menjamin kesejahteraan kaum-kaum lain di negara ini.
“Beri peluang kepada Mahathir untuk kembali sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya hanya dua tahun lagi.
“Kerosakan negara secara berskala besar pada hari ini hanya boleh diselesaikan oleh tokoh negarawan bertaraf dunia seperti Dr Mahathir kerana dunia luar masih menghormati beliau serta mempunyai keyakinan tinggi terhadap mutu kepimpinannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairuddin menambah, keyakinan dunia luar amat penting untuk membantu memulihkan ekonomi negara kerana sokongan pelaburan asing akan menguatkan asas ekonomi.
“Kepimpinan negara dan kerajaan half past six yang ada pada hari ini menyebabkan semua pelabur asing lari keluar dari negara kita hari ini.
“Sebab itulah asas ekonomi negara jatuh merudum dan nilai mata wang negara berada di paras yang paling rendah dalam sejarah kita,” jelasnya.
Beliau meminta semua pihak jangan berebut kuasa, sebaliknya mereka perlu sedar dan insaf untuk melantik tokoh yang berwibawa bagi merealisasikan pembangunan ‘Malaysia Baharu’ yang lebih cemerlang.
“Allah SWT masih meminjamkan Dr. Mahathir secara bersebab kepada kita semua dan kita harus mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan kebijaksanaan tokoh negarawan ini bagi menyelesaikan semua permasalahan yang sedang membebankan seluruh rakyat jelata,” katanya.
Khairuddin berkata, tokoh negarawan terulung itu tidak mempunyai agenda kepentingan peribadi melainkan hanya mahu membangunkan ‘Malaysia Baharu’ sehingga digelar semula sebagai kuasa ‘Harimau Asia’ yang disegani oleh dunia luar. – MalaysiaGazette
Haaa…apasal tak minta lagi 100 tahun..dah bagi dah dlm PRU 14…bukan setakat menipu..habis harta negara dijual..nak kena jual lagi ker