KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein optimis UMNO telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, keyakinan tersebut dapat dilihat apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam barisan sama yang dapat menentukan kesediaan parti untuk berhadapan pilihan raya.
“Yang penting sekarang kita jaga kawasan masing-masing untuk memastikan apabila dibubar nanti, siapa saja dicalonkan untuk mewakili parti dalam PRU ini bersungguh-sungguh dan bekerjasama rapat,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Kem Perdana, Sungai Besi, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditanya mengenai kandungan pertemuan pada Perjumpaan Khas Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Tiga Sayap UMNO bersama Presiden UMNO serta Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Hishammuddin merupakan salah seorang anggota parti yang dilihat menghadiri pertemuan tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Sembrong, Hishammuddin menyatakan beliau akan bertanding. – MalaysiaGazette