Lim Kit Siang Parlimen PRU-15 Najib
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada Parlimen akan dibubarkan esok atau lusa menjadi perkara utama yang berlegar dalam fikiran rakyat ketika ini.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara-perkara lain seperti Malaysia bakal berdepan musim tengkujuh dan bencana banjir yang dahsyat, krisis ekonomi akibat kenaikan harga barang makanan dan penyusutan nilai ringgit serta pembentangan Bajet 2023 bukan lagi menjadi keutamaan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyatakan beliau akan terkejut sekiranya Parlimen dibubarkan esok atau lusa kerana ia akan menyebabkan Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang berkhidmat dalam tempoh yang paling pendek iaitu selama 14 bulan.

“Apa yang lebih teruk lagi, kita akan mempunyai seorang Perdana Menteri yang bersedia untuk menghina Parlimen dengan mengawalkan persidangan Parlimen Oktober 2022 dan pembentangan Belanjawan 2023, memberi laluan untuk perbahasan dan kelulusan rang undang-undang selama seminggu, yang kemudiannya akan luput apabila Parlimen dibubarkan.

“Sekiranya Perdana Menteri mahu tunduk kepada tekanan ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih awal lagi, dia sepatutnya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebelum Ahli-ahli Parlimen dari seluruh negara berkumpul di Kuala Lumpur pada 3 Oktober untuk memulakan sidang baharu ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, sekiranya ramalan itu tepat, tindakan mengadakan PRU-15 sekarang mungkin satu perkara yang buruk untuk UMNO.

Desas-desus Parlimen mungkin dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2023 semakin kuat berlegar selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perjumpaan khas dengan kepimpinan parti peringkat bahagian dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Lima pemimpin tertinggi UMNO yang terdiri daripada Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib-naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan perbincangan berkaitan tarikh PRU-15 Jumaat lalu.

Setakat ini, belum ada pengumuman daripada Perdana Menteri sama ada beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan berlangsung di Parlimen, Jumaat ini. – MalaysiaGazette