Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman bercakap pada sidang media pada hari Pendaftaran Pelajar Baharu semester pertama sesi 2022/2023 di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

SERDANG  – Universiti Putra Malaysia (UPM)  menerima seramai 3,553 pelajar baharu program bacelor yang terdiri daripada 1,163 pelajar lelaki dan 2,437 pelajar perempuan  bagi sesi akademik 2022/2023 pada hari ini dan esok.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 84 pelajar bacelor akan mendaftar di kampus UPM Bintulu, Sarawak.

Seramai 392 pelajar antarabangsa turut akan mendaftar bagi program bacelor.

Antara fakulti yang mendapat pilihan pelajar antarabangsa mengikut jumlah tertinggi ialah Sekolah Perniagaa dan Ekonomi, diikuti oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Pengajian Pendidikan,” katanya pada sidang media Minggu Perkasa Putra UPM sesi 2022/2023, hari ini.

Tambah beliau, buat pertama kali UPM memperkenalkan program baharu iaitu Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan kepujian di Fakulti Pertanian yang ditawarkan kepada 20 pelajar.

Pelajar baharu melakukan pendaftaran sebelum memasuki kolej kediaman pada hari Pendaftaran Pelajar Baharu semester pertama sesi 2022/2023 di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

UPM turut menawarkan program pengajian kepada 80 atlet sukan negara yang pernah menyertai Sukan SEA dan Sukan Malaysia (SUKMA), majoritinya ialah atlet hoki, ragbi dan olahraga.

“Antara atlet yang mendaftar ialah Muhammad Arsyad Md Saat, pemenang pingat emas acara larian 200 meter di SUKMA 2022 dan pingat perak acara 4x100m Sukan SEA Vietnam 2022. Beliau akan mendaftar dalam program Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasamani).

“Seorang lagi atlet tumpuan ialah Kirandeep Kaur, menjadi johan dalam World Hockey Series Singapore 2018, tempat ketiga Kelayakan Olimpik di Ireland 2019 dan menyertai Piala Dunia Hoki Wanita Remaja pada April 2022. Beliau akan mendaftar dalam program Doktor Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada sesi kemasukan kali ini terdapat seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang akan mendaftar esok.

“Pelajar tersebut akan ditempatkan di Kolej 12 memandangkan Kolej 12 merupakan tempat kita sediakan untuk pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan. Jadi, untuk pelajar OKU akan ada kemudahan khas untuk hadir ke kuliah dan sebagainya”, katanya.

Seorang pelajar wanita tidak dapat menahan sebak sebelum memasuki kolej kediaman pada hari Pendaftaran Pelajar Baharu semester pertama sesi 2022/2023 di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

Sementara itu, UPM turut terlibat dalam laluan khas program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada sesi kemasukan kali ini.

“Program ditawarkan kepada 10 pelajar daripada keluarga B40 yang cemerlang dan merupakan anak pertama dalam keluarga mereka yang berjaya memasuki universiti di peringkat ijazah sarjana muda.

“UPM akan menyediakan tajaan dan program mentoring untuk memastikan 10 pelajar yang terpilih berjaya dalam pengajian dan akan mendapatkan mereka pekerjaan,” kata Roslan.

Menurut beliau, UPM juga akan memastikan mereka mendapat Kad Prihatin Siswa untuk memudahkan penyaluran peruntukan atau bantuan kewangan.

Roslan berkata, pelajar-pelajar baharu UPM akan menjalani program Minggu Perkasa Putra (MPP) UPM sesi 2022/2023 selama 5 Hari bermula hari ini hingga 9 Oktober 2022.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast