Wanita berusia 33 tahun yang melakukan penyamaran sebagai Pengarah Kewangan KDN di media sosial telah dicekup polis IPD Klang Utara dan direman tiga hari membantu siasatan lanjut. Ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang wanita yang disyaki menyamar sebagai Pengarah Bahagian Kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN), seperti yang tular di laman media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima laporan daripada Setiausaha Bahagian KDN mengenai penularan video membabitkan ‘Pengarah Bahagian Kewangan KDN’ itu.

Katanya, wanita berusia 32 tahun itu mendakwa dia menerima mesej aplikasi daripada kumpulan ‘Pegawai KDN’ bahawa terdapat satu pautan hantaran video dari laman sosial Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ppseudoscience watch pada 3 September lalu.

“Pengadu kemudian membuka pautan itu dan melihat satu rakaman video yang memparkan seorang wanita yang menggelar dirinya telah dilantik sebagai Pengarah Kewangan di KDN.

“Dalam mesej sama juga mengandungi tangkap layar laman sesawang KDN yang didapati telah diubahsuai dengan menyatakan penama ‘Dato Sri Siti Nur Atiqah Baba’ sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut telah menghubungi pengadu dan memaklumkan dia akan hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang jam 9 pagi tadi.

“Siasatan lanjut terhadap klip video itu mendapati rakaman itu telah dimuatnaik kira-kira 21 jam yang lalu dan menerima kira-kira 1,000 komen serta lebih 59,000 tontonan pengguna media sosial.

“Pengadu tampil segera membuat laporan bagi menafikan dakwaan suspek itu dan mengesahkan bahawa pihak KDN tidak pernah melantik mana-mana individu secara langsung sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN dan jawatan itu tidak pernah wujud di kementerian itu,” ujarnya.

Wan Kamarul Azran berkata, berikutan laporan yang dilakukan pengadu, IPD Klang Utara berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 33 tahun.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 7 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette