SEPANG – Seramai 21 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan dan terperangkap di luar negara diselamatkan pihak berkuasa dan akhirnya selamat pulang ke tanahair hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesemua mereka dibawa pulang dan selamat tiba dalam tiga penerbangan berasingan.
Katanya, penerbangan pertama tiba daripada Kemboja pukul 4.42 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 ((klia2) sebelum lapan lagi terdiri daripada lelaki dan wanita keluar di Balai Ketibaan Antarabangsa diiringi olehnya pukul 6.35 petang tadi.
“Manakala pada pukul 7.50 malam, tujuh lagi mangsa akan tiba dalam penerbangan daripada Laos dan pada tengah malam nanti enam lagi mangsa warga kita akan datang dari Kemboja sekaligus menjadikan hari ini sahaja seramai 21 orang mangsa warga Malaysia berjaya dibawa pulang.
“Pada Selasa 4 Oktober lalu, kita berjaya membawa balik seramai lima orang mangsa daripada Laos dan sejak April 2022 hingga sekarang jumlah mangsa rakyat kita yang berjaya diselamatkan adalah seramain 273 orang daripada sebanyak 401 kes mangsa penipuan pekerjaan yang dilaporkan.
“Daripada jumlah 273 orang yang diselamatkan itu, sebahagiannya masih ditahan di depot tahanan negara-negara berkenaan iaitu di Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar setelah diselamatkan daripada sindiket penipuan di sana untuk proses perundangan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media bersama lapan mangsa penipuan sindiket pekerjaan di Balai Ketibaan Antarabangsa klia2 hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, baki seramai 128 orang lagi mangsa rakyat Malaysia masih terperangkap dalam cengkaman sindiket penipuan di negara-negara berkenaan.
Justeru, katanya, satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan kabinet kerajaan Malaysia yang dipengerusikan beliau dengan dianggotai agensi penguat kuasa Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen telah melibatganda usaha untuk mengesan baki 128 lagi rakyat negara ini yang terperangkap dalam cengkaman sindiket penipuan pekerjaan.
“Kita telah melipatganda usaha untuk mendapatkan kerjasama dari pihak berkuasa kesemua empat negara terbabit untuk mengesan baki seramai 128 mangsa sindiket penipuan dan mereka yang telah dapat dikesan setelah melalui proses perundangan di negara-negara itu akan kita bawa balik dengan secepat mungkin.
“Kementerian Luar mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua perwakilan negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand yang berada di Kuala Lumpur pada 30 September lalu.
“Pada waktu yang sama juga ketua ketua perwakilan kita di keempat-empat negara itu turut telah diarahkan melipatganda usaha mereka di sana untuk mengesan dan juga mengesahkan mana mana warganegara kita yang masih berada dalam tahanan sindiket penipuan,” katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa yang diselamatkan hari ini ada di antaranya dipaksa menjadi scammer pusat panggilan pelaburan dan juga judi haram dalam talian selain ada yang dikatakan didera.
Pun begitu, tegasnya, Malaysia sebagai sebuah negara yang menghormati undang-undang harus menerima dan membenarkan negara-negara terlibat untuk melakukan proses yang diperlukan oleh mereka dari aspek perundangan sebelum membenarkan mangsa dibawa pulang ke Malaysia.
Beliau turut menasihatkan mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang terselamat dan pernah menjadi mangsa dera dan sebagainya supaya membuat laporan pihak berkuasa.
Menurut Saifuddin, langkah itu bagi memudahkan polis di negara itu boleh melakukan siasatan untuk menyelamatkan saki baki mangsa yang masih terperangkap di luar negara.
“Pada masa yang sama ingin nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada sesetengah video viral atau gambar yang diedarkan di media sosial kerana kita harus memastikan sama ada video atau gambar itu menggambarkan perkara sebenarnya.
“Ini kerana kita juga dapati ada yang diedarkan langsung tak melibatkan rakyat Malaysia dan saya pada masa sama menasihatkan supaya kita lebih berhati-hati dalam membuat apa-apa kenyataan berkaitan isu begini.
“Jika mempunyai maklumat berkaitan sebaiknya sampaikan kepada polis kerana itu lebih berhasil kerana kita bimbang kalau kenyataan itu dibuat pertama ia boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa polis dan keduanya kalau tersilap bahasa yang gunakan boleh ganggu diplomatik dengan negara berkaitan,” ujarnya.
Saifudin menambah Kemboja yang melaporkan paling banyak kes rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan sebenarnya memiliki lebih 500 syarikat Malaysia yang beroperasi di sana.
“Mereka menjalankan perniagaan sangat baik dan kita juga ada 5,000 rakyat Malaysia bekerja di Kemboja sama ada dengan syarikat Malaysia atau syarikat Kemboja di sana yang mendapat pendatan yang baik dan tidak terlibat dengan apa-apa penipuan.
“Jadi jangan pula sampai kita mengeluarkam kenyataan seolah-olah Kemboja ini teruk sangat kerana itu mengganggu pula hubungan dua hala kita dengan negara tersebut,” tegasnya.-MalaysiaGazette