KUANTAN – Pakatan Harapan (PH) akan tetap meneruskan Program Jelajah Pahang yang membabitkan tiga zon di negeri ini bermula 8 Oktober ini.
Menurut Pengarah Program Jelajah PH Pahang Zon Timur, Fakhrul Anuar Zulkawi, meskipun khabar angin pembubaran Parlimen boleh berlaku bila-bila masa sahaja, segala persiapan telah dilakukan bagi program jelajah tersebut.
“Pemimpin tertinggi PH peringkat pusat dan negeri sendiri yang akan turun ke Pahang untuk menjelaskan isu-isu berkaitan nasional dan tempatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelas Fakhrul Anuar, program jelajah bagi zon Timur akan memberi tumpuan kepada tiga kawasan iaitu Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota.
“Kita akan adakan pelancaran sukarelawan banjir PH Kuantan pada sebelah pagi yang akan diadakan di Dewan Sa’adah, Kampung Razali,” katanya.
Pemimpin-pemimpin PH Pahang juga akan menyertai program ‘walkabout’ bertemu peniaga dan orang ramai di sekitar Taman Tas pada sesi pagi, katanya.
“Apa yang menarik, kita juga akan ada program Jualan Peduli Rakyat yang akan bermula pukul 5 petang di Jalan Alur Ladang 1, Indera Mahkota untuk membantu meringankan beban rakyat dengan penjualan harga barangan asas bawah harga pasaran” jelas Fakhrul.
Beliau berkata, selain barangan asas seperti minyak masak dan telur, sebanyak 200 ekor ayam akan dijual dalam program tersebut dengan tawaran harga RM10 seekor.
“Kami menjangkakan sambutan yang menggalakkan melihat kepada penganjuran jualan sebelum ini di sini di mana orang beratur panjang,”katanya.
Difahamkan, kemuncak program Jelajah PH Pahang bagi Zon Timur nanti adalah Ceramah Mega pada pukul 9 malam yang akan dihadiri Pengerusi PH Pahang iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Fakhrul, selepas Zon Timur, program Jelajah PH Pahang juga akan ke Maran, Kuala Krau, Lipis, Jerantut dan Temerloh.
Jelajah PH Pahang dengan tema #MohTukorPahang akan menutup tirai di Temerloh pada 20 Oktober 2022 dengan Ceramah Mega yang akan dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette