Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Oktober ini keputusan kes penggubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan bekas Menteri Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tarikh ini ditetapkan sejurus selepas pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dan Presiden MUDA, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta.

Mereka didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tuduhan kedua pula, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. -MalaysiaGazette