Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat hari ini dengan antara lain membincangkan hal berkaitan manifesto dan persiapan jentera pilihan raya peringkat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kepada media di saat spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan.

“Mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat bulanan PN iaitu pelaporan daripada pelbagai unit, keduanya tentang persiapan PRU termasuk manifesto serta pelancaran jentera pilihan raya di Selangor semalam dan selepas ini di Perak dan Pahang.

“Jawatankuasa perundingan kerusi juga masing-masing buat pelaporan awal, apa pun kita akan adakan perbincangan berikutnya selepas ini dan setiap parti dia ada jawatankuasa bersama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.

Mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen PN, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata perkara tersebut juga masih dalam perbincangan.

“Ada beberapa kerusi yang kita fikir kita perlu duduk untuk muafakat bagi elak kerusi tersebut jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH)…kita akan bentang perincian nanti,” katanya.

Mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN turut dihadiri Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.- BERNAMA