Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya peluang Perikatan Nasional (PN)  meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah amat cerah.

Pengerusi PN itu berkata, kemenangan boleh dicapai selagi semua pihak bersatu hati, ikhlas, yakin dan bersungguh-sungguh dalam gerak kerja jentera pilihan raya.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, PRU-15 cukup penting bukan sahaja untuk PN tetapi juga untuk negara menentukan hala tuju akan dibawa PN bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Kita juga ada tugas besar iaitu untuk memastikan negara kita tidak terus terjunam ke lembah kerosakan yang lebih dalam.

“Adakah kita mahu terus berada dalam sebuah kerajaan yang dikuasai oleh sebuah parti yang tidak amanah, rasuah, kleptokrasi dan penuh kebobrokan?” soalnya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Muhyiddin memberitahu, PN mempunyai tanggungjawab besar iaitu menyakinkan rakyat bahawa mereka ada tugas penting untuk melaksanakan satu keputusan yang bijak bagi memastikan negara ini tidak jatuh kepada sebuah parti yang tidak amanah yang boleh memusnahkan masa depan negara.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggesa kerajaan memastikan sebanyak mungkin perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diberi ‘talian hayat’.

Muhyiddin berkata, langkah itu membolehkan mereka bernafas dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.

Beliau bimbang jika tiada langkah drastik yang diambil kerajaan terutamanya dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok, lebih banyak lagi PMKS terpaksa gulung tikar.

“Apa yang lebih parah, lebih ramai rakyat Malaysia yang mungkin juga akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Jangan terhantuk baru tengadah, lakukanlah sesuatu dengan segera!” katanya. – MalaysiaGazette