Dr. Mohd Daud dan Muhammad Sanusi (kanan). Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang merupakan pemilik Kedah Darul Aman (KDA) untuk menasihati Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.  

Nasihat itu dibuat Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) apabila menulis komen pada hantar yang dimuatnaik oleh Mohd Daud di laman Instagram beliau.

Tunku Ismail berkata, sudah tiba masanya untuk Sanusi menjaga sikap dan membawa diri sebagai seorang Menteri Besar dan bukannya ‘badut’.

Malah tegas beliau, tindakan Sanusi yang memecah-belah penyokong Kedah dan Johor selama ini perlu dihentikan.

“Salam Tan Sri, saya pernah berjumpa dengan Tan Sri di SSI [Stadium Sultan Ibrahim]. Tan Sri orang yang baik dan saya berdoa semoga Allah kurniakan kejayaan buat Tan Sri dan Kedah.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta Tan Sri nasihatkan ‘sikit’ Menteri Besar Kedah [merujuk kepada Sanusi], cukup-cukuplah memecah belahkan Kedah dan Johor, lagi-lagi orang Islam Melayu kita.

“Sudah tiba masanya untuk beliau jaga sikap dan bawa diri sebagai seorang Menteri Besar dan bukannya ‘badut’.

“Semoga Allah berkati Tan Sri. A leader will give birth to more leaders, a clown will give birth to more clowns,” tulis TMJ.

Kelmarin, Sanusi seolah-olah mempertikaikan jaringan dihasilkan oleh Bergson da Silva serta sepakan penalti yang diperoleh JDT pada aksi liga menemukan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Meskipun terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain, JDT masih mampu mencatatkan kemenangan 3-1 untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka pada musim ini.

Melalui laman media sosial Facebook beliau, Sanusi yang juga Menteri  Besar mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana telah menampilkan prestasi terbaik sepanjang perlawanan.

“Tahniah JDT yang menang menentang Kedah malam ini (semalam). Tahniah juga kepada pemain dan penyokong KDA yang telah memberi komitmen terbaik. Kalah takpa jangan koyak.

“Lepas perangkat offsaid dan dapat penalti dalam bola sepak memang ada jual di kedai tepi jalan di Kelana Jaya,” katanya. – MalaysiaGazette