mesyuarat
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap pada Menara Dato' Onn semasa menghadiri mesyuarat khas bersama kepimpinan tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu mengadakan mesyuarat khas  di Ibu Pejabat UMNO di sini malam ini.

Beliau menjelaskan, mesyuarat tersebut adalah ‘biasa-biasa sahaja’ bagi membincangkan beberapa perkara termasuk manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kalau ada apa-apa yang luar biasa kami akan maklumkan tetapi malam ini tiada apa-apa yang luar biasa, biasa-biasa sahaja,” katanya kepada pemberita.

Spekulasi timbul berhubung mesyuarat itu apabila Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob datang ke Ibu Pejabat UMNO selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang tadi.

Beliau beredar dari Menara Datuk Onn kira-kira pukul 6.30 petang selepas berada di situ kira-kira sejam.

Mesyuarat malam ini dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahmad menjelaskan, Ismail Sabri datang kerana ada sesi libat urus membabitkan UMNO Bahagian Bera yang diketuainya.

“Kebetulan hari ini juga melibatkan UMNO Bahagian Bagan Datuk yang diketuai Presiden UMNO,” katanya.

Berhubung desas-desus pembubaran Parlimen, beliau berkata, perkara itu terserah kepada kebijaksanaan Yang di Pertuan Agong.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, UMNO difahamkan Pas akan mengadakan mesyuarat penting pada Sabtu dan Ahad ini bagi membincangkan hubungannya dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

“Kita tunggu apa keputusan mesyuarat itu,” katanya ringkas.- MalaysiaGazette