Sesi MoU antara YBR dan UNITEN. Dari kiri Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pengerusi YBR Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin; Pengerusi UNITEN Datuk Seri Hasan Arifin; dan Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

PUTRAJAYA – Prihatin dalam meningkatkan modal insan negara, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penajaan sembilan pelajar universiti itu.

Semua mereka mengikuti pengajian Program Pelajar Cemerlang (Asasi/Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan ACCA dan sijil Tahfiz).

Daripada usahasama itu, YBR memperuntukan RM1.03 juta bagi biasiswa pendidikan untuk pelajar yang terpilih program berkenaan serta RM100,000 peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan memulakan semester baru.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, jalinan kerjasama selama tiga tahun itu bermula 2022 sehingga 2024 dengan menyasarkan tiga pelajar sebagai penerima setiap tahun bagi penajaan biasiswa pendidikan.

“Semuanya RM114,934 dan BAP kepada 100 pelajar yang layak dari semester 1 hingga 3 berjumlah RM1,000 seorang,” katanya dalam majlis di Bilik Teater, Bangunan Pengurusan UNITEN Kampus Putrajaya, di sini, semalam.

Memorandum itu ditandatangani bersama oleh Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dan disaksikan Megat Zulkarnain serta Pengerusi UNITEN, Datuk Seri Hasan Arifin.

Menurut Megat Zulkarnain, kerjasama itu juga bertujuan membuka peluang kepada pelajar khususnya yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selepas menamatkan program asasi.

Menyokong usaha dalam meningkatkan sosioekonomi negara melalui pendidikan, katanya, usaha antara YBR dan UNITEN itu juga diharapkan menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada pelajar yang cemerlang untuk terus berjaya dalam pendidikan serta sedikit sebanyak menyumbang kepada generasi muda yang berkaliber.

“Penajaan pelajar ini turut memandang dari aspek pembangunan modal insan negara yang mampan serta menunjukkan komitmen yang diberikan oleh YBR dan UNITEN demi membantu pelajar cemerlang dalam akademik bagi mengorak langkah ke hadapan tanpa sebarang masalah kewangan.

“Justeru, kerjasama antara YBR dan UNITEN amat bersesuaian kerana usaha ini dilihat memberi keuntungan dan kebaikan bersama, di mana pelajar berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir apabila menamatkan pengajian serta bertepatan dengan visi dan objektif penubuhan YBR iaitu membantu masyarakat Malaysia yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast