Datuk Azhari Shaari.- foto MOHD ADZLAN, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kegagalan pestisyen dalam talian bantah Pilihan Raya Umum (PRU) ketika banjir yang dilancarkan oleh Rafizi Ramli menunjukkan populariti Timbalan Presiden PKR tersebut telah jatuh.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, bilangan sokongan yang sangat rendah terhadap petisyen itu juga mendedahkan data rakyat tidak peduli dengan naratif yang dibawa Rafizi.

Mengikut data terkini bilangan yang menandatangani petisyen tersebut yang dilancarkan seminggu lalu sehingga hari ini tidak sampai 25,000 orang.

Bilangan itu ternyata rendah jika dibandingkan dengan nama besar Rafizi dan jumlah pengikut media sosialnya serta jumlah ahli PKR sendiri.

“Kalau nak dibandingkan dengan jumlah followers Rafizi Ramli yang berjumlah 897, 000 di Facebook sahaja. Ini bermakna hanya 2.7 peratus sahaja yang sign petisyen ini. Sikit sangat. Populariti sudah jatuh.

“Kalau kita bandingkan pula dengan jumlah ahli PKR yang cecah satu juta ahli. Hanya dua peratus sahaja yang mengundi. Maknanya, sesama ahli PKR pun tidak sign petisyen ini. Pemilihan parti PKR pun teruk juga yang keluar mengundi. Ternyata gagal.

“Kalau bandingkan pula dengan ahli-ahli di dalam Pakatan Harapan? Saya pasti tak sampai satu peratus sahaja jumlahnya,” kata Azhari.

Data daripada petisyen itu juga menunjukan ahli PKR tidak yakin dan percaya dengan Rafizi serta ahli PH tidak peduli kempen yang dianjurkan Rafizi.

Azhari mendakwa petisyen itu juga memaparkan data bahawa rakyat setuju PRU diadakan segera untuk memulihkan negara.

“Sebenarnya ada banyak lagi kesimpulan yang kita boleh buat. Tetapi saya yakin kebanyakan yang komen dan mempertahankan Rafizi dan PH di media sosial sama ada di FB, Tiktok, Twitter dan lain-lain adalah kumpulan cybertrooper PH yang ada banyak fake account agar mereka kelihatan banyak terima sokongan rakyat di media sosial.

“Padahal tiada. Tapi mereka telah terkantoi dengan petisyen yang dibuat Rafizi ini. Tiada sambutan dan sendu,” dakwa beliau.

Azhari berkata, penolakan PH terhadap PRU disebabkan jumlah sokongan yang diterima parti itu telah merosot dan bimbang akan kalah seperti yang berlaku pada pilihan raya negeri Melaka, Sarawak dan Johor.

Oleh kerana itu PH telah membuat pelbagai alasan termasuk banjir dan isu telur bagi mengelakkan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast