Datuk T. Mohan.

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 mampu memberikan kelegaan kepada golongan sasar yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi ketika pandemik Covid-19 melanda.

Itu pandangan Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan berhubung pembentangan bajet bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden MIC berkata, ia antara bajet dengan nilai lebih besar yang memfokuskan untuk memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas cukup teruk sejak beberapa tahun ini.

“Bajet ini memperuntukkan jumlah paling besar iaitu RM372.3 bilion bagi tahun 2023 jika hendak di bandingkan dengan 2022 dengan nilai RM332 bilion.

“Sememangnya ini adalah satu inisiatif untuk memperkasakan golongan sasar terjejas ketika pandemik lalu selain bantu negara berdepan ekonomi tidak stabil. Ini memang bajet yang merangkumi situasi hari ini yang sedang di hadapi oleh rakyat.

“Saya juga lihat kerajaan telah memberikan fokus kepada golongan muda dengan memperuntukkan pelbagai peruntukan bagi memperkasakan mereka, sesuatu yang positif dan perlu di alu-alukan pada saya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, Mohan juga mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM1.1bilion bagi pemerkasaan masyarakat India yang merupakan satu keperluan pada masa ini.

“Tidak seperti selalu di mana hanya beberapa ratus juta dipecahkan dan diberikan untuk sektor tertentu sebaliknya kali ini masyarakat India telah mendapat peruntukkan RM1.1 bilion, sesuatu yang bagus saya katakan.

“Cuma kita tidak pasti daripada jumlah ini berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk sekolah-sekolah Tamil yang juga menjadi fokus utama saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette