KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi membendung jenayah penipuan dalam talian yang menjadi isu global dan semakin serius di negara ini.

Pusat berkenaan akan mula beroperasi bulan ini dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan terhadap penjayah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, berkata NSRC akan mengabungkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Katanya, gabungan empat agensi itu akan bekerjasama dengan institusi kewangan.

Menurutnya, kerajaan akan memperketatkan langkah keselamatan untuk perbankan internet oleh institusi perbankan dengan menghentikan penggunaan one-time-password (OTP) yang berasaskan sistem pesanan ringkas (SMS) bagi transaksi berisiko tinggi.

“Selain itu, menyediakan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor yang disyaki digunakan oleh penjenayah penipuan dalam talian, “ katanya.

Tengku Zafrul berkata ia juga memperhebatkan tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, kerajaan akan terus memperkasa CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta antaranya bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaburan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.

“Bagi melindungi pengguna kredit di samping memupuk pasaran kredit pengguna yang adil dan teratur, kerajaan komited untuk membentangkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna pada suku kedua 2023.

“Melalui usaha ini, sebuah pihak berkuasa amalan bebas yang baharu iaitu Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan di bawah Kementeriaan Kewangan bagi mengawal selia semua aktiviti berkaitan kredit pengguna,” katanya. – BERNAMA