Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah tumpas apabila diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di kawasan Bandar Tun Razak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata,  pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di sebuah flat lebih kurang pukul 9.45 malam.

“Hasil serbuan ke atas suspek telah membawa kepada penemuan dadah jenis kanabis, anggaran berat 5,100 gram dan wang tunai berjumlah RM560,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zaim, hasil siasatan lanjut terhadap serbuan suspek pertama telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 29 tahun di tepi jalan kawasan Bandar Tun Razak.

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam serbuan kedua, polis telah menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1000 gram dan wang tunai berjumlah RM578.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggar bernilai RM12,750,” jelas Zaim.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol dan memiliki rekod jenayah lampau.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 Oktober.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -MalaysiaGazette