Dua wanita meninggal dunia manakala tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di simpang Cenderawasih, Jalan Kuantan-Segamat petang tadi.-Gambar iIhsan Bomba Pahang.

KUANTAN – Dua wanita meninggal dunia manakala tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di simpang Cenderawasih, Jalan Kuantan-Segamat petang tadi.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria, pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang menerima laporan kemalangan kira-kira pukul 3.23 petang.

Beliau berkata, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi telah bertembung dengan kereta Perodua Viva dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zulfadli, dua wanita yang menaiki Myvi itu disahkan meninggal dunia dipercayai akibat tersepit manakala dua lagi individu dalam kenderaan sama iaitu seorang lelaki dan wanita dilaporkan mengalami kecederaan akibat kemalangan terbabit.

“Mangsa di dalam kereta Perodua Viva iaitu seorang lelaki dewasa selamat, manakala seorang wanita dan tiga kanak-kanak dalam kereta mengalami kecederaan,” ujarnya.

Zulfadli turut memberitahu, pasukan bomba terpaksa mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta Perodua Myvi dengan menggunakan peralatan penyelamat.

“Kesemua mangsa di dalam kereta Perodua Viva telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera sampai di lokasi kejadian,” kata Zulfadli.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan.-MalaysiaGazette